
KUALA LUMPUR: Seramai 500 pemain muda berusia 9 ke 15 tahun menjayakan pusingan kedua Kejohanan Badminton Remaja NCT di Kuantan, baru-baru ini.
Daripada kejohanan kali ini, pemain yang menduduki empat tangga teratas layak secara automatik ke Grand Final yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Jun nanti.
Malah, semua juara perseorangan kategori bawah 15 tahun pula dijanjikan tiket ke Paris bagi menyaksikan Sukan Olimpik 2024 pada Ogos nanti.
Penganjur Kejohanan Badminton Remaja NCT, Datuk Jack Koh meluahkan rasa gembira dengan penyertaan sebegitu ramai bakat muda dari Pantai Timur dalam kejohanan ini.
"Terdapat ramai pemain berbakat di seluruh Malaysia dan ramai yang tidak pernah mengetengahkan bakat mereka kerana kekurangan peluang. Selepas menyaksikan pusingan ini, kita dapat lihat bahawa negara tidak ketandusan pemain muda yang mempunyai potensi besar untuk bersaing dengan bakat dari seluruh tanahair.
"Contohnya Nur Balqis Khatijah dan Shahadzryl Suhaimnie, pemain berusia 11 tahun yang berjaya muncul juara berganda dalam perseorangan dan beregu, begitu juga pemain bawah 13 tahun Chong Wan Xin, yang turut muncul juara berganda dalam kategori umurnya," kata Jack.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif NCT Alliance Berhad, Yap Chun Theng berkata, kumpulan itu berbesar hati untuk menaja acara yang bermakna ini kerana badminton adalah sukan yang menggalakkan perpaduan dalam kalangan semua rakyat Malaysia," katanya.
Kejohanan Badminton Remaja NCT adalah inisiatif NCT Alliance Berhad dan Kelab Badminton Petaling (Petaling BC) untuk membangunkan juara-juara masa hadapan.
Selepas Kuantan, kejohanan ini akan berpindah ke Selangor untuk pusingan ketiga pada 8-10 Mac, yang dijangka akan menarik penyertaan terbesar.
Selepas Selangor, pusingan keempat akan diadakan di Sabah pada 19-21 April - satu-satunya pusingan yang diadakan di Malaysia Timur.
Source: Kejohanan remaja NCT berjaya tampil bakat muda badminton (bharian.com.my)