
PUCHONG: Hard Rock Cafe paling tinggi dari segi altitud di Asia Pasifik yang bakal dibuka di Genting Highlands, Pahang pada suku keempat ini menjadi daya tarikan berkelas dunia baharu untuk Malaysia.
Restoran bar itu akan dibuka di Hotel Wyndham lon Majestic, Genting Highlands yang dimiliki oleh Grand lon Majestic, cabang pembangunan NCT Alliance.
Hard Rock Cafe seluas kira-kira 5,000 kaki persegi itu akan turut dilengkapi dengan kolam mewah dan bar tepi kolam yang terletak di aras 50, iaitu tingkat tertinggi hotel berkenaan.
Timbalan Presiden Asia Pasifik bagi Hard Rock International, Malcom Chao, berkata restoran bar itu akan dibuka pada suku keempat tahun ini, atau selewat-lewatnya pada suku tahun pertama 2025.
Katanya, kemudahan baharu itu disasarkan kepada semua peringkat usia kerana kemudahan sama seumpamanya di Pulau Pinang serta Bali banyak dikunjungi oleh keluarga dan turut memiliki hubungan kerjasama dengan sekolah muzik kanak-kanak tempatan.
"Selain itu, kami lebih menumpukan kepada warga tempatan berbanding pelancong dari luar negara kerana golongan ini yang akan menggunakan kemudahan ini setiap hari.
"Meskipun memiliki pelbagai keunikan tersendiri, kemudahan terbaharu ini tidak menjadi Hard Rock Café tertinggi di dunia kerana kami turut memiliki premis di La Paz, Boivia yang berketinggian lebih daripada 3,000 meter dari paras laut.
"Kami berharap tidak lama lagi akan dapat menempa jenama di awan dan menjadikan ia Hard Rock Cafe yang paling tinggi di Asia Pasifik" katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengumuman kerjasama Hard Rock Cafe di antara pemaju hartanah, NCT Alliance dengan Hard Rock International selain pelancaran awal Hotel Wyndham Ion Majestic, di Puchong, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Alliance, Datuk Seri Yap Ngan Choy dan Naib Presiden Eksekutif lon Majestic Hospitality Sdn Bhd, Tee Yih Fung.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM1.6 bilion, pembukaan tidak rasmi fasa pertama Hotel Wyndham lon Majestic dijadualkan pada suku kedua tahun ini.
Sebagai bangunan tertinggi di Genting Highlands, kemudahan lima bintang itu menempatkan hotel, ruang menjamu selera dan membeli-belah pada ketinggian 6,000 kaki dari paras laut, dengan pemandangan indah.
Sementara itu, Yih Fung berkata pengumuman kerjasama bersama Hard Rock Cafe di Hotel Wyndham lon Majestic adalah satu mercu jaya penting bagi NCT Alliance.
"Kedua-dua pembangunan menggabungkan penginapan dan hiburan yang memenuhi kehendak pelancong riadah, pengunjung perniagaan selain industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE).
"Wyndham lon Majestic Hotel di Genting Highlands diuruskan oleh lon Majestic Hospitality. Hotel ini menempa nama dengan empat pencapaian yang diiktiraf Malaysia Book of Records antaranya termasuk Rumah Kaca Altitud Tertinggi bernama Vertical Sky Glass Pyramid, Dewan Jamuan Kaca Menegak Altitud Tertinggi di Asia untuk acara MICE, yang mampu menempatkan sehingga 1,500 tetamu pada satu masa.
"Kami yakin bahawa kerjasama ini, dengan sokongan padu Tourism Malaysia di samping beberapa persatuan pelancongan, agensi pelancongan dalam talian (OTA), rakan kongsi Jualan Borong B2B Global, Batik Airline, dan juga rakan kongsi industri pelancongan utama hari ini akan membawa Genting Highlands ke kemuncak yang lebih tinggi," katanya.
Source: Hard Rock Cafe Genting Highlands daya tarikan baharu kelas dunia (bharian.com.my)